ASYADA terdiam, tiada sepatah ayat yang terucap pada bibirnya. Dalam diam, hatinya mula menangis namun sengaja wajahnya dikeraskan tidak mahu sesiapa melihat dia menangis di situ. Wajah mama dan papa menari-nari di tubir mata. Tiga tahun lepas, mereka meninggalkan dia bersendirian meneruskan legasi MQ Holdings. Kini dia terpaksa bersendirian lagi, berita kehilangan itu ditelan pahit.
“Along dah meninggal dalam kemalangan semalam...” Suara Pak Majid pemandu peribadi arwah papa kedengaran semula. Ditahan lagi air matanya, namun kali ini dia gagal.
“Abang Rafli?” Soalan Asyada kedengaran lemah.
“Kritikal.” Hanya jawapan itu yang mampu didengari sebelum Pak Majid mengeluh berat. Asyada memandang bingkai gambar yang terletak di atas meja kerjanya. Gambar ketika mereka sekeluarga bercuti di Pulau Langkawi. Di situ jugalah pertemuan Along dengan Abang Rafli, pertemuan pertama yang membuahkan ikatan cinta antara mereka. Dan dialah orang pertama yang menjerit keriangan apabila Abang Rafli datang meminang. Lapan tahun menyemai kasih, mereka dikurniakan 6 orang anak yang comel. Kini, dia yang bertanggungjawab melaksana urusan yang ditinggalkan Along, dan nekadnya akan sentiasa berusaha menjaga mereka.
SUARA syahdu bacaan suci Al-Quran mematikan lamunan Asyada. Dia memandang sayu, dilihat air mata Ain dan Aisyah sedari tadi mengalir laju dalam setiap lafaz bacaan surah lazim. Pantas air mata diseka, dia harus kuat demi anak-anak ini.
“Ucu, agak-agak mama nampak tak kita sekarang?” Soalan Haziq membuatkan Asyada terkaku. Hanya anggukan yang menjadi jawapan, pantas dia mem bawa Haziq ke dalam pelukannya.
“Sebab tu la Haziq kena sedekahkan Al-Fatihah untuk mama, suapaya mama senang hati kat sana tau.” Nasihat ikhlas dihulurkan. Aisyah tersenyum, di pangkuannya Dania terlentok tidur.
“Kalau dah siap semua, jom. Minggu depan kita datang lagi. Mesti mama dan papa suka...” Asyada tersenyum lagi dalam paksa. Tangannya menyentuh batu nisan yang tertera nama Asyida Raihana Binti Mukhriz. Bibirnya diketap. “Along, abang, kami balik dulu tau. Minggu depan Ash akan datang lagi, moga Along dengan abang tenang di sana.” Pantas dia bangun, menghalau air mata yang sudah mula ingin tumpah.
“Mama, papa kami balik dulu. Assalamualaikum...” Hazim bersuara lemah. Langkah mereka meninggalkan kawasan perkuburan. Setiap langkah mereka diperhati dari jauh, dalam diam hati seseorang tersentuh!
No comments:
Post a Comment